Saban hari, kita
mendengar pesakit dijangkiti demam denggi, bahkan ada yang meninggal disebabkan
oleh demam denggi berdarah dan sindrom renjatan denggi. Pihak Kementerian Kesihatan
berusaha sedaya-upaya untuk menyedarkan masyarakat tentang peri-pentingnya
menghalang pembiakan nyamuk Aedes seterusnya mengurangkan kes denggi. Terlalu
banyak fakta yang perlu disebutkan, tetapi artikel yang terlalu panjang
tentunya membosankan. Saya cuba yang terbaik agar dapat dimanfaatkan semua.
FAKTA
SATU
Denggi adalah sejenis
penyakit yang disebabkan oleh arbovirus, tergolong dalam famili flaviviridae.
Terdapat 4 jenis iaitu DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4. Virus ini dibawa oleh
nyamuk betina Aedes. Menurut data epidemiologi yang dikeluarkan oleh
Kementerian Kesihatan, kes denggi menunjukkan peningkatan iaitu daripada 44.3
kes / 100 000 populasi (pada 1999) kepada 181 kes / 100 000 populasi (pada
tahun 2007). Kadar kematian yang disebabkan oleh Denggi di kalangan orang dewasa
juga menunjukkan peningkatan. 70% – 80% kes Denggi berlaku di kawasan bandar
(urban area).
Mengapa kita perlu tahu tentang
fakta di atas?
Ini adalah supaya kita boleh
menilai berapa tinggi risiko dan kemungkinan untuk kita mendapat penyakit ini.
Contohnya, sekiranya kita tinggal di kawasan bandar, kita mempunyai kemungkinan
(probability) yang lebih tinggi untuk mendapat Denggi. Kita perlu lebih
berjaga-jaga dan memandang serius sebarang simptom denggi agar kita boleh
memberi rawatan sewajarnya sebelum terlambat.
FAKTA
DUA
Satu perkara yang amat penting
untuk difahami mengenai Denggi ialah faktor masa. Prognosis (sequlae / outcome)
seseorang pesakit yang telah dijangkiti virus Denggi amat bergantung kepada
secepat mana pesakit itu dibawa berjumpa doktor dan mendapat rawatan di
hospital. Sekiranya rawatan diberi awal, kemungkinan seseorang pesakit itu
untuk mati akibat komplikasi denggi adalah rendah. Dalam jangkitan denggi,
terdapat 3 fasa yang akan dilalui oleh pesakit.
1. Fasa demam (Febrilephase) pesakit akan
mengalami demam sekitar 3 – 4 hari. Suhu boleh mencapai 40°C. Fasa ini biasanya
akan menyebabkan pesakit datang untuk berjumpa dengan doktor.
2. Fasa kritikal (criticalphase) selalunya terjadi pada hari ke-4
dan ke atas. Demam akan beransur hilang. Fasa ini dipanggil kritikal kerana
pada waktu inilah komplikasi denggi akan terjadi. Pada waktu yang kritikal ini,
adalah penting untuk pesakit berada di hospital agar rawatan sewajarnya dapat
diberikan andainya komplikasi denggi berlaku.
3. Fasa
penyembuhan selalunya pada hari ke-7 dan ke atas. Fasa ini adalah fasa di mana
pesakit mula sembuh. Mengapa kita perlu tahu fakta di atas?.Ada sesetengah
pesakit lebih suka merawat demam mereka sendiri di rumah tanpa merujuk doktor.
Ini menyebabkan denggi tidak dapat dikesan lebih awal. Lebih-lebih lagi,
apabila pesakit tinggal di kawasan endemis (endemic area). Apabila pesakit
mengalami komplikasi seperti pendarahan dalaman, ia mungkin terlalu lewat untuk
diselamatkan. Seperkara lagi, sesetengah pesakit rasa mereka sudah pulih
apabila demam mereka mula berkurangan. Denggi adalah berbeza. Seandainya
pesakit mengidap denggi, fasa ketika demam hilang adalah fasa yang sangat
kritikal dan perlu kepada pemerhatian doktor di hospital.
FAKTA
TIGA
Simptom-simptom Denggi mempunyai
spektrum yang luas. Bermula dengan demam yang tinggi suhunya, sehinggalah ia
melibatkan organ-organ lain dalam badan seperti hati, paru-paru dan buah
pinggang (sekiranya pesakit mengalami komplikasi akibat Denggi) dan berakhir
dengan kematian. Simptom-simptom yang perlu diberi perhatian ialah apabila
pesakit mengalami demam yang suhunya mencecah 39°C ke atas. Demam yang
berpanjangan (3 hari ke atas). Demam ini berlaku bersama beberapa simptom lain
seperti lemah dan sengal tubuh badan, sakit pada bahagian sendi dan timbul
bintik-bintik merah pada kulit. Sekiranya pesakit mempunyai simptom-simptom di
atas dan kawasan rumah pesakit adalah kawasan wabak Denggi, sila rujuk klinik
terdekat secepat mungkin.Mengapa kita perlu tahu fakta di atas? Simptom demam
Denggi adalah simptom yang umum dan tidak spesifik. Terdapat
jangkitan-jangkitan lain yang mempunyai simptom yang sama. Tetapi, adalah
penting untuk mendapatkan nasihat doktor untuk memastikan pesakit tidak
mempunyai jangkitan Denggi. Justeru, bertindak awal adalah sangat penting.
FAKTA
EMPAT
Nyamuk Aedes betina adalah
vektor (pembawa) virus ini. Selalunya membiak dalam air jernih yang bertakung
lama (3 hari dan ke atas). Seperti yang dinyatakan dalam fakta di atas,
kebanyakan kes berlaku di kawasan bandar. Tempat-tempat yang perlu diberi
perhatian lebih ialah tayar-tayar buruk yang ditinggalkan dan pasu-pasu bunga
atau bekas-bekas yang menakung air hujan. Kalau pembaca tengok dalam air yang
bertakung lama begini, cuba suluhkan lampu, pembaca akan nampak jentik-jentik
yang bergerak secara zig-zag. Jentik-jentik ini menjadi aktif apabila disuluh
cahaya.Mengapa kita perlu tahu fakta di atas?Tugas mengenalpasti dan merawat
adalah bidang tugas doktor tetapi mencegah pembiakan nyamuk dan mencegak jangkitan
adalah tanggungjawab semua. Ingat, mencegah itu adalah sentiasa lebih baik
daripada merawat. Kalau saya ingin panjangkan artikel ini, tentunya saya pilih
untuk menulis lebih panjang dalam fakta ini. Pencegahan ini adalah tugas yang
mesti dipandang berat dan diberi perhatian lebih oleh pembaca.
Luangkan masa 10 minit setiap hari untuk memastikan tidak ada takungan-takungan air yang boleh menyebabkan pembiakan nyamuk Aedes. Kalau saudara biarkan, nyamuk bukan sahaja boleh menjangkiti saudara, bahkan jiran-jiran yang berdekatan. Takkan nak tunggu ahli keluarga kita menemui ajal akibat denggi, baru kita nak ambil tindakan serius? ataupun mungkin kita yang menjadi mangsa. Tentunya ia sudah terlalu lewat untuk mencegah apabila jasad tidak lagi bernyawa.